Aku meletakkan sudu ke dalam mangkuk selepas suapan terakhir. Madihah rancak berbicara. Bercerita mengenai berita pernikahan kakaknya dalam cuti penggal kedua ini. Kami sebenarnya sedang menghadapi Peperiksaan Pertengahan Tahun yang biasanya memang diadakan pada bulan Mei, yakni sebelum cuti persekolahan penggal kedua bermula.
Melihat lazatnya keropok dicicip Huda, aku menelan liur. Lantas, aku bangkit meninggalkan mereka seketika lantas menuju ke kaunter jualan kantin. Ramai yang mengerumuni, lantas kujengukkan kepala. Keropok tiada nampaknya. Mungkin masih digoreng. Di satu sudut lain, aku terpandang beberapa orang pelajar membeli kek coklat, produk baru jualan kantin barangkali.
Tiba-tiba, terlintas sesuatu di mindaku.
Kek coklat?
Birthday?
Huda?
Ya!
Tanggal 22 Mei baru-baru ini merupakan tarikh keramat hari lahir salah seorang kawan baikku, Huda. Memandangkan hari tersebut jatuh pada hujung minggu, hanya SMS ucapan selamat hari lahir dihantar sebagai pengganti diri. Berikut peperiksaan, tiada antara kami sempat membeli hadiah menyusuli ucapan tersebut. Kasihan Huda!
Aku lantas mendekati ruang menjual kek itu. Melihat betapa lakunya kek itu, aku pantas memberikan pesanan.
“Kak, kek coklat satu. Yang tengah tu. Ha, yang tu. Nah, duitnya. Terima kasih ya, kak.”
Kewujudan kek itu terus aku sembunyikan dari pandangan teman-teman. Perlahan, aku mendekati Huda dan meletakkan sepotong kek itu dihadapannya.
“Happy Birthday!”, ucapku perlahan.
Huda kelihatan tergamam. Yang lain mulai senyum. Aku turut tersenyum sama, sebagai simbol keikhlasan diriku.
“Eh…” Huda kebekuan kata. Dia kaku.
“Makanlah Huda…” giat Madihah. Shahida tersengih lebar. Zahidah yang aku belakangi nampaknya benar-benar tidak perasankan kewujudan kek coklat ini.
“Malulah.. Ila, apa ni? Malu aku!” getus Huda tersekat-sekat. Nyata, dia kebisuan kalam.
“Huda, maaf sesangat sebab terlambat ucap happy birthdat kat kau secara langsung. Pulak tu, tak bagi hadiah langsung dan kek pun sepotong je…” pohonku.
“Tak apalah! Aku tak kisah semua tu. Korang ingat birthday aku pun dah cukup bagus bagi aku. Tak payahlah hadiah-hadiah ni…” respons Huda.
Aku selusuri sinar mata Huda. Berkaca? Mahu menitiskan air mata? Huda menangis?
“Aku tahulah kau terharu, tapi tak payahlah sampai menangis…” usikku. Ketawa kami pecah melihatkan sifat malu-malu kucing yang pertama kali Huda pamerkan sepanjang usia persahabatan kami menginjak ke tahun kedua.
“Kau ni!!” Huda tepuk bahuku, agak kuat. Malu barangkali diusik begitu.
“Makanlah Huda…” jemputku.
“Happy Birthday…” aku mula mengiramakan lagu Happy Birthday.
“to you…” sambung Madihah dan Shahida. Seiring dan senada, kami menghabiskan lagu tersebut sambil memandang reaksi Huda. Lagu Allah Selamatkan Kamu kami lantunkan dengan bersemangat. Menanam tunas keceriaan dalam hati seorang yang bergelar sahabat.
“Makanlah!” aku menepuk bahu Huda perlahan, sebelum kembali bangun. Tiba-tiba, aku teringatkan kembali hasratku yang mahu membeli keropok sebentar tadi.
Tatkala aku kembali, kulihat kek sudah tinggak 1/3. Aku tersenyum bangga. Huda membalas dengan senyuman malu. Madihah, Zahidah dan Shahida tersengih lebar, mengusik.
“Nah, untuk kau.” aku terkejut melihatkan secebis kek soklat di tangan Huda disuakan ke mulutku.
“Kau nak suap aku?” soalku aneh. Romantik juga Huda yang selama ni ‘kayu’!
“Cepatlah!” gesanya. Kelihatan malu-malu. Yang lain, sengihnya ibarat sudah melebihi telinga.
Aku membuka mulut. Menerima suapa secebis kek daripada seorang Huda, yang selama ini terkenal dengan sifat keras dan kentalnya. Aku tersenyum lucu. Huda tersengih malu.
“Korang, tengok tu…” tiba-tiba, Huda mengunjukkan ke arah suatu tempat. Kami semua berpaling.
“Apa dia, Da? Tak ada apa pun?” soal Shahida. Aku juga melihat semua penjuru alam arah yang ditunjukkan Huda. Memang tiada apa pun! Lantas kupalingkan wajah.
Kulihat Huda sedang mencuit hidung Zahidah dengan icing putih di tangannya. Nakalnya dia! Sekelipan, terdengar jeritan terkejut Zahidah. Beberapa saat kemudian, jeritan Shahida mengekori manakala Madihah sempat menyelamatkan diri, seperti aku.
Kami memandang Huda dengan sepenuh perasaan. Bukanlah marah, cuma saja mahu mengusik. Huda nampak gerun. Aku capai bekas kek di tangannya yang masih berbaki icing. Zahidah memegang tangan kiri Huda manakala tangan kanan Huda kejap dalam pegangan Madihah. Shahida meletakkan kedua-dua tangannya di kedua-dua telinga Huda kejap, supaya kepala itu tidak bergerak. Aku?
Aku pantas mencalitkan semua baki icing yang tinggal di seluruh wajah Huda. Hidung, dahi dan pipi. Huda meronta-ronta. Kami ketawa.
“Cantiknya kau, Da…” usik kami. Muka Huda diconteng dengan icing, kami tilik. Huda tersengih.
“Padan muka!” ulasku.
Kami ketawa lagi. Seolah-olah tidak wujud makhluk lain di kantin ini.
***
Aku sampai di rumah jam 3 petang. Tanpa mempedulikan telefon bimbit, aku bergerak ke kamar mandi untuk membersihkan diri dan berwudhu’. Tatkala membasuh muka, aku teringatkan Huda. Teringat pula cara dia menggonyoh wajahnya yang diselaputi icing. Aku tersenyum lagi.
Lima minit selepas solat, telefon bimbitku berdering. Ah, missed call dari teman lama. Kulihat ada dua mesej yang diterima. Satu mesej peringatan mengenai tempoh aktif talian telefonku yang hampir tamat serta satu lagi mesej dari… Huda.
Aku buka mesej Huda dengan berdebar. Entah kenapa!
“Ila, tq byk2 for the cake tgh hr td. Ko org pertama buat camtu, tau! Ye la, sepjg 16thn aku idup, x pernah ada org celebrate birthday aku, tau! terasa syahdu gitu. terharu pun ada. tq bebanyak ya!”
Aku tersenyum membaca mesej itu. Sepotong kek coklat sahaja sudah membuat kawan baikku seceria ini. Lantas tangannya menaip pantas.
“It was juz a cake, Da. Apalah sgt kalau nak dibandingkan dgn kesudian ko kwn ngan aku. Happy Belated Birthday, gal. May God continues His bless on you.”
Aku tersenyum lagi. Senang hati. Gembira. Suka. Ceria. Bahagia.
Aku senang hati apabila rakan-rakanku senang hati.
Aku tumpang gembira apabila kawan-kawanku gembira.
Aku ceria apabila kawan-kawan baikku ceria.
Aku bahagia apabila sahabt-sahabatku bahagia.
Alhamdulillah. Seribu kesyukuran kupanjatkan ke hadratNya, kerana menganugerahiku sahabat-sahabat yang begitu baik dan bermakna dalam mencorakkan hidupku. Tanpa mereka, sunyi dan kosonglah duniaku.
‘Sekali kita berkawan, selamanya tetap kawan.’
***
p/s: Khas buat sahabat, Nur Huda Hassan, Selamat Hari Lahir ke-16, sweet sixteen!
No comments:
Post a Comment