Thursday 29 October 2009

Hello Kitty



Balqis menghempas batang tubuhnya kasar ke tilam empuknya. Patung kaku di kepala katil dicapai rakus. Matanya menentang sayu biji mata patung itu. Terakam kembali kata-kata babahnya sebentar tadi.

“Babah nak Aqis buang patung tu. Haram hukumnya! Malaikat tak masuk rumah ni. Malaikat tak rahmat bilik Aqis selagi binatang tu ada!” kasar kata-kata babahnya. Balqis pelik. Biasanya, suara babah penuh kelembutan. Bahasanya bahasa kiasan. Tapi, sebentar tadi? Suara babahnya bak halilintar membelah bumi! Balqis panggung kepala.

“Kenapa babah?” soalnya takut-takut. Suara babah sedikit-sebanyak menerbangkan semangatnya yang sedia kurang.

“Aqis boleh tanya lagi kenapa? Dengar sini! Kalau esok babah tengok Aqis simpan lagi patung tu, babah takkan buang. Tapi, bakar! Aqis tahu kan, babah takkan bergurau dalam hal seserius ni. Ingat tu!” jawapan yang ditagih, amaran yang diberi. Balqis kelu. Kaku. Sudahlah disuruh membuang patung Hello Kitty kesayangannya, ditengking lagi! Balqis bangkit dari duduk. Menentang tajam pandangan mata babah sebelum empangan air hangatnya pecah. Balqis segera ke kamar. Niatnya untuk membalas kata-kata babah dibatalkan. Arwah ibu tidak pernah mengajarnya untuk tidak beradab dengan orang tua.

“Mak…” seru Balqis sayu.

Balqis renung sayu patung di hadapannya. Juraian air mata membanjiri pipi mulus miliknya tidak dihiraukan. Balqis pelik sendiri. Bukannya babah tak tahu, patung itu pemberian terakhir arwah ibu. Pemberian terakhir insan yang paling disayanginya. Babah kejam! Balqis memberontak dalam diam. Sudahnya, dia membuat keputusan untuk memekakkan telinga dan membutakan mata dengan teguran babahnya tadi. Dia nekad!

Pagi itu Balqis bangun dengan rasa aneh. Dalam keadaan mamai, dia cuba mengingati apa sebenarnya telah berlaku. Lebih ganjil, patung Hello Kitty yang selalunya memeluk dirinya yang kedingin kini tiada dalam dakapan. Dia hanya mendakap angin lalu. Kitty! Di mana Kitty? Babah? Ya, babah! Balqis bingkas bangkit dari katil. Tanpa mempedulikan penampilan dirinya yang langsung tidak kemas, dia terus menjerit memanggil babahnya.




“Babah, ada nampak Kitty tak? Masa Aqis bangun subuh tadi ada lagi. Sekarang dah tak ada. Babah buat apa pada Kitty?” soal Balqis rakus pada babahnya yang sedang membelakanginya. Ketika itu, mereka berada di halaman belakang rumah mereka.

“Kitty? Binatang tu? Dah tak ada!” jawab babah tegas. Balqis bunting mata.

“Ke mana? Babah buang Kitty?” soal Balqis. Matanya bercahaya dibanjiri air.

“Tak.”

“Habis tu?”

“Ni…” unjuk babah sambil memberi ruang kepada Balqis untuk melangkah ke hadapan. Balqis jegil mata yang sedia terbuntang. Rasanya seperti mahu tercabut biji matanya melihat Kittynya yang dulu berwarna putih, kini? Hitam legam, hangit rentung! Kitty dah jadi cacat. Balqis cuma nampak riben di telinga Kitty. Kalau tidak, memang Balqis tidak dapat mengecam Kitty. Balqis statik.




“Jangan kata babah tak bagi amaran pada Balqis.” Ujar babah lembut berbaur
tegas lantas berlalu.

“Babah…” tangis Balqis perlahan. Cukup perlahan namun sudah lebih untuk mematikan langkah babah.

Balqis pusing. Menghadap belakang batang tubuh babah dengan linangan air mata.

“Kenapa babah buat Aqis macam ni? Kenapa babah buat Kitty macam tu? Sampai hati babah. Apa dosa kami? Apa yang kami dah buat? Babah kejam. Bukannya babah tak tahu, Kitty tu pemberian terakhir arwah mak pada Aqis. Kitty yang selalu teman Aqis. Aqis sedih, gembira, suka, benci… Kitty selalu ada untuk Aqis. Tapi, babah? Lepas mak pergi, babah cuma tumpukan pada hal pejabat babah saja. Apa yang babah tahu, pagi-pagi babah tinggalkan duit untuk Aqis.

Tapi, babah tak pernah nak tanya khabar Aqis, tak pernah nak bagi tangan untuk Aqis salam, tak pernah nak cium Aqis. Aqis sunyi babah! Aqis balik sekolah, rumah ni sepi sangat! Babah? Kalau tak pukul lapan sembilan, babah takkan balik. Kitty tu macam jelmaan mak pada Aqis. Babah sepatutnya berterima kasih pada Kitty.

Walaupun dia sekadar patung yang tak bernyawa, tapi dia yang banyak dengar masalah Aqis berbanding babah. Kalaulah Kitty boleh bercakap, babah tanyalah dia apa saja tentang Aqis, tentu dia tahu! Sebab Kitty juga Aqis asuh diri supaya balik awal kerana kalau Aqis nak balik lambat tanpa pengetahuan babah, banyak sangat peluang yang Aqis ada untuk buat macam tu.

Tapi, mengenangkan Kitty akan keseorangan kat rumah, Aqis balik awal. Sanggup tak ikutkawan-kawan ke bandar hatta ke kedai makan untuk makan tengah hari pun tak pernah. Kalau bukan kerana Kitty, barangkali Aqis ni bukan Aqis yang dulu. Aqis akan jadi budak jahat! Kenapa babah masih nak bunuh Kitty? Kenapa babah kejam???” Ngongoi Balqis dalam sendu. Babah terkaku.

“Agama menyuruh babah buat macam tu. Aqis kena faham.” Ringkas jawapan babah. Balqis segera menjawab.

“Agama juga suruh ibu bapa mendidik anak-anak dengan baik. Kalau benarlah haram Kitty di rumah ni, kenapa dari dulu lagi babah tak cegah? Dah dua tahun babah, dua tahun! Dua tahun Aqis hidup bertemankan Kitty. Kerana Kitty jugalah Aqis mampu lupakan kesalahan babah pada Aqis. Kerana Kitty, Aqis dah tak kisah kalau babah tak tanya khabar Aqis, tak bersalaman dengan Aqis, tak nak peluk cium Aqis.

Tapi sekarang? Kalau tak salah Aqis, agama juga menyuruh ibu bapa mendidik anak-anak dengan sebaik-baik didikan. Tapi, tinggalkan Aqis tanpa kata, tanpa mata, didikan yang baik ke tu babah? Babah tak pernah tanya Aqis dah solat ke belum. Tiba-tiba babah balik dari pejabat kelmarin dan nak bercakap tentang agama dengan Aqis?Apa hak babah?” soal Balqis. Kata-katanya kali ini lebih kasar dan jelas. Seperti ada seseorang meniupkan semangat di telinganya.

“Aku babah kamu, Balqis Humaira!!!” kata-kata babah lebih kasar. Seumur hidup Balqis, inilah kali pertama babah membahasakan dirinya aku dan jarang sekali babah memanggilnya dengan nama penuh secara serius.
“Balqis Humaira ni anak babah. Apa, sebagai anak, Aqis tak ada hak terhadap babah Aqis sendiri? Salah ke kalau Aqis nak balik babah Aqis yang dulu? Salah ke kalau Aqis menuntut hak Aqis yang tak pernah Aqis tuntut tu? Salah ke, babah?” tangisan mula diselang-selikan dengan kalimat-kalimatnya. Babah pekup telinga dan berlalu.

Balqis terjelepuk lemah!

“Aqis sayang…”

Balqis buka mata. Suara yang memanggilnya sangat mendamaikan jiwanya.

“Mak!” panggil Balqis riang. Antara percaya dan tidak.

“Ya sayang…”

“Mak…babah…” adu Balqis. Tangisannya bermula.

“Syhhh, sayang. Mak dah tahu. Sayang Aqis, dengar cakap mak, ya sayang?

Balqis angguk kepala. Wajah ibunya ditatap. Ayu sungguh wanita itu dengan berkurung dan berkerudung putih.

“Babah benar sayang. Agama melarang adanya patung di rumah. Haram hukumnya. Malaikat Rahmat tak masuk nanti sayang. Nanti, rumah kita tak diberkati Allah. Babah cuma melaksanakan tanggungjwabnya. Aqis kena faham.” Lembut suara itu disertai dengan usapan di pipinya yang kebasahan.

“Itu saja tanggungjawab babah?” soal Aqis, separa menyindir.

“Mak tahu, babah abaikan Aqis. Tapi, Aqis kena faham yang babah tertekan.Mak pergi secara tiba-tiba. Sebenarnya, sebelum Allah jemput mak, kami dah merancang untuk kita pergi bercuti bersama sempena ulangtahun perkahwinan kami yang ke-15. Segala persiapan telah dibuat. Hanya menunggu masa. Tapi sayang, manusia hanya merancang. Tuhan yang menentukan. Allah terlebih dulu jemput mak membuatkan babah Aqis hilang arah. Apa yang kami rancang terpaksa dibatalkan. Babah dan Aqis pun tak sangkakan yang mak akan pergi secepat tu? Mak juga tak sangka sayang. Tapi, mak redha. Aqis jangan tekan babah sangat. Dia tertekan sayang. Kasihan babah…”

“Habis, siapa yang nak kesiankan Aqis,mak?”

“Allah sentiasa ada untuk hamba-hambaNya. Aqis kena ingat tu.”

“Habis tu, kenapa babah buat Kitty macam tu?” Balqis masih tidak puas hati.

“Mungkin Aqis betul. Babah memaksa. Tapi, kalau babah tak berkeras, mak pasti, anak mak yang degil ni takkan dengar cakap babah. Kan, sayang?”

Balqis senyum malu sambil angguk kepala.

“Balqis sayang sangat dengan Kitty tu mak. Tambah-tambah pulak, tu pemberian terakhir mak pada Aqis. Aqis sayangkan Kitty sangat-sangat!”

“Aqis, mak bukan aje bagi Kitty pada Aqis kan? Mak juga bagi Al-Quran, telekung solat, buku motivasi, novel sains, baju kurung, tudung, jubah, dan banyak lagi sayang! Bukan Kitty saja. Soalnya sekarang, Aqis terpaksa lupakan Kitty. Tolong sayang? Kalau Aqis sedih, baca Al-Quran. Mengadu pada Allah. Alah itu Maha Mendengar sayang. Kalau tak, ambil wudhuk dan solat. Jiwa Aqis akan tenang.Percayalah sayang…ya?”

Balqis angguk kepala. Dia mendakap ibunya penuh rindu. Seolah melerai rindu yang terpendam. Kata-kata yang dibisikkan syahdu ke telinganya disambut dengan anggukan. Ibunya sempat mengusap pipi Balqis, tersenyum sebelum bangun meninggalkannya.

“Mak! Jangan tinggalkan Aqis!” teriak Balqis lantang.

“Aqis…” seru satu suara dekat di cuping Aqis.

Balqis cuba buka mata. Pedih! Lantas dibiarkan matanya terpejam kembali. Setelah beberapa kali mencuba, dia berjaya. Samar-samar wajah di hadapannya ditatap.

“Babah…” panggil Balqis perlahan.

“Ya sayang? Kenapa, Aqis sakit ke?” sahut babah. Kali ini nada suaranya kembali seperti biasa. Lembut dan mesra.

“Aqis mintak maaf babah. Aqis berdosa dengan babah.” Ungkapnya sayu. Soalan babah tidak dipedulikan. Janjinya dengan ibu harus dilaksana segera.

“Babah juga sayang. Babah abaikan Aqis…”

“Tak, babah! Babah seorang ayah yang hebat! Aqis mintak maaf sebab tak faham keadaan babah. Aqis sayang babah…” tersekat-sekat dia bersuara. Belum punya kekuatan yang hakiki.

“Babah juga sayangkan Aqis. Babah janji, babah takkan buat macam tu lagi. Nanti, babah belikan Kitty yang baru ya?” pujuk babah.

Balqis geleng. Babah pelik.

“Aqis tak nak Kitty ke, Pooh ke, Snoopy ke.. Aqis cuma nak babah Aqis. Cukup sekadar babah Aqis seorang saja.” Tangis Balqis perlahan. Usapan babah di kepala menghibakannya. Sudah lama tangan itu tidak membelainya sebegitu.

“Babah janji sayang…I’m yours, Balqis Humaira.” Janji babah. Balqis senyum. Bagaikan ternampak bayang ibunya di kamar itu.


Sepotong Kek Coklat Untuk Huda



Aku ketawa lagi. Yang lain turut serta. Kami benar-benar menikmati masa makan selepas keluar dari dewan peperiksaan sebentar tadi. Aku menikmati keenakan laksa penang, seperti biasa. Huda dan Madihah memilih keropok manakala Shahida memilih bihun tomyam. Zahidah hanya membeli yogurt ice blended. Kami ketawa lagi dan ketawa dengan lelucon yang dibuat oleh kami sendiri. Melepaskan tekanan yang terbuku!

Aku meletakkan sudu ke dalam mangkuk selepas suapan terakhir. Madihah rancak berbicara. Bercerita mengenai berita pernikahan kakaknya dalam cuti penggal kedua ini. Kami sebenarnya sedang menghadapi Peperiksaan Pertengahan Tahun yang biasanya memang diadakan pada bulan Mei, yakni sebelum cuti persekolahan penggal kedua bermula.

Melihat lazatnya keropok dicicip Huda, aku menelan liur. Lantas, aku bangkit meninggalkan mereka seketika lantas menuju ke kaunter jualan kantin. Ramai yang mengerumuni, lantas kujengukkan kepala. Keropok tiada nampaknya. Mungkin masih digoreng. Di satu sudut lain, aku terpandang beberapa orang pelajar membeli kek coklat, produk baru jualan kantin barangkali.

Tiba-tiba, terlintas sesuatu di mindaku.

Kek coklat?

Birthday?

Huda?

Ya!

Tanggal 22 Mei baru-baru ini merupakan tarikh keramat hari lahir salah seorang kawan baikku, Huda. Memandangkan hari tersebut jatuh pada hujung minggu, hanya SMS ucapan selamat hari lahir dihantar sebagai pengganti diri. Berikut peperiksaan, tiada antara kami sempat membeli hadiah menyusuli ucapan tersebut. Kasihan Huda!

Aku lantas mendekati ruang menjual kek itu. Melihat betapa lakunya kek itu, aku pantas memberikan pesanan.

“Kak, kek coklat satu. Yang tengah tu. Ha, yang tu. Nah, duitnya. Terima kasih ya, kak.”

Kewujudan kek itu terus aku sembunyikan dari pandangan teman-teman. Perlahan, aku mendekati Huda dan meletakkan sepotong kek itu dihadapannya.

“Happy Birthday!”, ucapku perlahan.




Huda kelihatan tergamam. Yang lain mulai senyum. Aku turut tersenyum sama, sebagai simbol keikhlasan diriku.

“Eh…” Huda kebekuan kata. Dia kaku.

“Makanlah Huda…” giat Madihah. Shahida tersengih lebar. Zahidah yang aku belakangi nampaknya benar-benar tidak perasankan kewujudan kek coklat ini.

“Malulah.. Ila, apa ni? Malu aku!” getus Huda tersekat-sekat. Nyata, dia kebisuan kalam.

“Huda, maaf sesangat sebab terlambat ucap happy birthdat kat kau secara langsung. Pulak tu, tak bagi hadiah langsung dan kek pun sepotong je…” pohonku.

“Tak apalah! Aku tak kisah semua tu. Korang ingat birthday aku pun dah cukup bagus bagi aku. Tak payahlah hadiah-hadiah ni…” respons Huda.

Aku selusuri sinar mata Huda. Berkaca? Mahu menitiskan air mata? Huda menangis?

“Aku tahulah kau terharu, tapi tak payahlah sampai menangis…” usikku. Ketawa kami pecah melihatkan sifat malu-malu kucing yang pertama kali Huda pamerkan sepanjang usia persahabatan kami menginjak ke tahun kedua.

“Kau ni!!” Huda tepuk bahuku, agak kuat. Malu barangkali diusik begitu.

“Makanlah Huda…” jemputku.

“Happy Birthday…” aku mula mengiramakan lagu Happy Birthday.

“to you…” sambung Madihah dan Shahida. Seiring dan senada, kami menghabiskan lagu tersebut sambil memandang reaksi Huda. Lagu Allah Selamatkan Kamu kami lantunkan dengan bersemangat. Menanam tunas keceriaan dalam hati seorang yang bergelar sahabat.

“Makanlah!” aku menepuk bahu Huda perlahan, sebelum kembali bangun. Tiba-tiba, aku teringatkan kembali hasratku yang mahu membeli keropok sebentar tadi.

Tatkala aku kembali, kulihat kek sudah tinggak 1/3. Aku tersenyum bangga. Huda membalas dengan senyuman malu. Madihah, Zahidah dan Shahida tersengih lebar, mengusik.

“Nah, untuk kau.” aku terkejut melihatkan secebis kek soklat di tangan Huda disuakan ke mulutku.

“Kau nak suap aku?” soalku aneh. Romantik juga Huda yang selama ni ‘kayu’!

“Cepatlah!” gesanya. Kelihatan malu-malu. Yang lain, sengihnya ibarat sudah melebihi telinga.

Aku membuka mulut. Menerima suapa secebis kek daripada seorang Huda, yang selama ini terkenal dengan sifat keras dan kentalnya. Aku tersenyum lucu. Huda tersengih malu.

“Korang, tengok tu…” tiba-tiba, Huda mengunjukkan ke arah suatu tempat. Kami semua berpaling.

“Apa dia, Da? Tak ada apa pun?” soal Shahida. Aku juga melihat semua penjuru alam arah yang ditunjukkan Huda. Memang tiada apa pun! Lantas kupalingkan wajah.

Kulihat Huda sedang mencuit hidung Zahidah dengan icing putih di tangannya. Nakalnya dia! Sekelipan, terdengar jeritan terkejut Zahidah. Beberapa saat kemudian, jeritan Shahida mengekori manakala Madihah sempat menyelamatkan diri, seperti aku.

Kami memandang Huda dengan sepenuh perasaan. Bukanlah marah, cuma saja mahu mengusik. Huda nampak gerun. Aku capai bekas kek di tangannya yang masih berbaki icing. Zahidah memegang tangan kiri Huda manakala tangan kanan Huda kejap dalam pegangan Madihah. Shahida meletakkan kedua-dua tangannya di kedua-dua telinga Huda kejap, supaya kepala itu tidak bergerak. Aku?

Aku pantas mencalitkan semua baki icing yang tinggal di seluruh wajah Huda. Hidung, dahi dan pipi. Huda meronta-ronta. Kami ketawa.

“Cantiknya kau, Da…” usik kami. Muka Huda diconteng dengan icing, kami tilik. Huda tersengih.

“Padan muka!” ulasku.

Kami ketawa lagi. Seolah-olah tidak wujud makhluk lain di kantin ini.


***


Aku sampai di rumah jam 3 petang. Tanpa mempedulikan telefon bimbit, aku bergerak ke kamar mandi untuk membersihkan diri dan berwudhu’. Tatkala membasuh muka, aku teringatkan Huda. Teringat pula cara dia menggonyoh wajahnya yang diselaputi icing. Aku tersenyum lagi.

Lima minit selepas solat, telefon bimbitku berdering. Ah, missed call dari teman lama. Kulihat ada dua mesej yang diterima. Satu mesej peringatan mengenai tempoh aktif talian telefonku yang hampir tamat serta satu lagi mesej dari… Huda.

Aku buka mesej Huda dengan berdebar. Entah kenapa!

“Ila, tq byk2 for the cake tgh hr td. Ko org pertama buat camtu, tau! Ye la, sepjg 16thn aku idup, x pernah ada org celebrate birthday aku, tau! terasa syahdu gitu. terharu pun ada. tq bebanyak ya!”

Aku tersenyum membaca mesej itu. Sepotong kek coklat sahaja sudah membuat kawan baikku seceria ini. Lantas tangannya menaip pantas.

“It was juz a cake, Da. Apalah sgt kalau nak dibandingkan dgn kesudian ko kwn ngan aku. Happy Belated Birthday, gal. May God continues His bless on you.”

Aku tersenyum lagi. Senang hati. Gembira. Suka. Ceria. Bahagia.

Aku senang hati apabila rakan-rakanku senang hati.

Aku tumpang gembira apabila kawan-kawanku gembira.

Aku ceria apabila kawan-kawan baikku ceria.

Aku bahagia apabila sahabt-sahabatku bahagia.

Alhamdulillah. Seribu kesyukuran kupanjatkan ke hadratNya, kerana menganugerahiku sahabat-sahabat yang begitu baik dan bermakna dalam mencorakkan hidupku. Tanpa mereka, sunyi dan kosonglah duniaku.

‘Sekali kita berkawan, selamanya tetap kawan.’


***
p/s: Khas buat sahabat, Nur Huda Hassan, Selamat Hari Lahir ke-16, sweet sixteen!

Kalam Pertama

Assalamualaikum wbt.

Hanya sebagai mukaddimah, untuk memulakan langkah pertama menyiarkan 'hasil kerja' di laman maya. Semoga diberi peluang untuk menggilap bakat.

Bukan pujian dipinta,
Bukan sanjungan didamba,
Cukuplah sekadar kata,
Yang bisa membaikkan hamba..

Sebarang kritikan dan komentar amatlah dialu-alukan.

Love Myspace Comments
MyNiceSpace.com

Salam sayang,
Arya Amila.